Airmata Seorang Naqib Pt 1

22 02 2008

University

Kita sama-sama masih teringat ketika kita mula-mula bertemu. Tidak ada yang lebih berbahagia di dalam hati ini selain melihat wajah ceria pelajar-pelajar baru yang begitu bersih yang dapat menjejakkan kaki ke sebuah pusat pengajian Islam. Memang ayah bonda menginginkan suatu yang terbaik buat mu. Mahukan engkau menjadi orang yang terpelajar dan berguna kepada mereka, kepada agama dan kepada negara. Ketika hari pendaftaran, kami sama-sama menjengah diri melihat muka-muka kalian. Kalian adalah ibarat rahmat kepada kami kerana dari kaliannya kami mendapat ketenangan dan kesejukan hati. Bagaimana..? akan kami ceritakan segala-galanya nanti!


Kemudiannya kalian di heret ke sana kemari dengan minggu pengenalan. Kalian didedahkan dengan apa yang ada ditempat belajar yang baru ini. Moga kalian dapat berta’aruf dengan cepat di alam baru ini. Kalian bersolat jamaah dan berma’thurat sama-sama. Kalian di dudukkan di dalam LDK dan kalian akhirnya menjejakkan kaki ke malam terakhir pengenalan. Kami masih mengintai-ngintai kalian. Bukan wajah dan gaya… tetapi watak dan budi. Manakah di antara kalian yang akan bersama kami? Manakah di kalangan kalian yang akan mewarisi jejak kami? Memang kami mengetahui dan menyedari.. kalian datang dengan keinginan yang berbeza. Ada yang ingin mendapat segulung sijil yang nantinya akan dipersembahkan kepada ibu dan ayah. Ada yang tertolak kerana ayah dan ibu menghendaki demikian. Kami faham itu semua… dan itu semua tidak langsung penting bagi kami. Kalian didudukkan di dalam usrah-usrah akhirnya. Kita sama-sama saling mengenal, mendengar dan memberi. Bercerita dan membaca. Berbincang dan bermesra. Bukankah itu satu titik permulaan yang indah dalam pengalaman hidup kita?

PMS

Kita kemudian bertemu lagi dalam tamrin dan dauroh. Duduk dan mendengar.. makan dalam dulang bertemu kepala. Kemudiannya tidur diatas lantar tanpa hamparan. Kesemuanya menjadi detik manis dan kenangan yang mungkin sukar dilupakan. Dari situlah kesemuanya bermula… Kami memerhati dan cuba mengenal. Siapakah dari kalangan kalian yang sudi untuk bersama lebih memahami apa yang sedang kami fikirkan?

Kami hanya ingin mengongsi beban yang sedang kami cuba pikulkan selama ini. Kami faham ianya begitu berat dan tidak mampu ditanggung oleh hanya dua tiga kerat manusia yang lemah seperti kami. Bebannya berat dan perjalanannya panjang. Hasilnya belum tentu diperolehi di masa terdekat. Kami berfikir dan berfikir … bagaimanakah cara terbaik untuk mengenali siapa dari kalian yang berminat. Kami adakan usrah… kami adakah tamrin dan kami adakan dauroh.. kami adakan mukhayyam… dan entah apa lagi. Semuanya adalah kerana cuba mengenali kalian.. disamping untuk memberi sedikit sebanyak kesedaran dan ilmu.

Akhirnya …Kami telah dikurniakan Allah dengan kalian. Kalian menampilkan diri dengan semangat dan kesediaan untuk bersama. Kami begitu gembira. Kami tidak meminta kalian berbuat demikian. Sedikitpun tidak ingin memaksa. Kami hanya membuka jalan dan peluang setelah memberi kesedaran sedikit sebanyak. Alhamdulillah atas segala nikmat dan rahmatNya kepada kita.

Bermulalah satu episod baru dalam hidup kita. Mungkin kita masih ingat kita mula menjejakkan kaki ke alam baru.. fikrah baru dan ikatan baru. Kalian telah berjaya memujuk hati kalian untuk bersama dalam gerombolan ini. Gerombolan yang ingin untuk melihat dunia berubah ke arah Islam. Kita mula tangkas melayari perjalanan yang sengit ini. Kita cuba menumpaskan nafsu yang kadangkala mengganggu dengan cerita indahnya hidup relaks dan seronok. Tapi kalian telah berjaya menolak itu semua. Walaupun kawan dan teman lain telah lama dibuai mimpi, kalian kadangkala masih termangu di hadapan kami.. menadah buku dan sedikit risalah. Segalanya hanya untuk memahami Islam yang masih banyak yang perlu dipelajari.

Clean

Kadangkala teman seronok dihadapan cerita TV dan VCD, tetapi kita menolaknya itu semua.. kerana masa amat berharga bagi kita untuk dibazirkan pada itu semua. Kadangkala kawan-kawan enak tidur ditilam empuk asrama, tetapi kita terpaksa berjaga malam di mukhayyam hanya semata-mata untuk melatih diri bagaimana indahnya dapat berkorban untuk sahabat yang sedang tidur di lantai bumi. Betapa banyaknya pengalaman yang kalian telah lalui bersama kami !

Kami cuba memberi apa yang kami terdaya. Segala-galanya adalah untuk menjadikan kalian orang yang bermanfaat untuk Islam. Kami merasa kasihan kepada Islam yang masih menagih cinta dan pengorbanan dari penganutnya. Islam masih terumbang ambing dicampak dan diheret oleh manusia liar. Islam yang sepatutnya tinggi masih digilis-gilis dan dipijak ganas untuk manusia zalim. Siapa yang ingin membelanya? Siapa yang akan meletakkannya ke tempat paling tinggi yang sepatutnya.

Inilah yang kami cuba lakukan. Alhamdulillah, kalian mula sedikit demi sedikit memahami apa yang kami ingin kongsikan. Walaupun kami kadangkala tidak dapat berehat sebagaimana orang lain… tetapi ketenangan mula menjenguk.. ketika melihat kalian mula faham dan mula melangkah. Denyut nadi perjuangan kalian yang mula bergerak-gerak sudah cukup menggembirakan kami… lebih gembira dari sang musafir yang terjumpa kembali untanya yang hilang di padang pasir !

Camel

Tentu kalian masih ingat itu semua. Kalian bagi kami adalah lebih mahal dari dunia dan isinya. Kalianlah sumber pahala kami di zaman ketandusan pahala dan bermaharajanya dosa dan maksiat. Bukankah ‘Allah memberi petunjuk seorang manusia dengan hasil usahamu adalah lebih baik dari dunia dan isinya’?. Kerana itu kalian semua lebih mahal bagi kami dari segala harta.

Mungkin dari situlah kalian dapat faham, bagaimana susahnya kami kerana menjaga kalian. Betapa banyaknya harta yang kami curahkan kerana kalian. Betapa kami terpaksa melupakan masa rehat dan hujung minggu untuk kalian. Betapa kami sudah tidak mempunyai apa-apa lagi yang dapat kami berikan kepada kalian semua… semuanya telah diberikan. Mungkin sekarang kalian telah dapat fahami. Kerana kalian lebih berharga dari dunia dan isinya !

Sukar kami menceritakan ini semua… terpaksa dan semoga ianya menjadi pedoman untuk kalian juga. Bahawa hidup seorang yang tahu di mana Islam berada sekarang tidak memungkinkannya sempat membina istana dan mahligai. Tidak memungkinkannya bergembira di setiap hujung minggu dengan anak isteri. Tidak mungkin berpeluang untuk menikmati hari-hari perlancongan dan santai tanpa matlamat dakwah. Tidak mungkin berenak dengan kenderaan besar dan mewah. Bagaimana ia boleh berbuat demikian sedangkan Islam masih menunggu pendokong yang akan menyelamatkannya?

Kerana memahami itu semua, kami wakafkan diri kami untuk kalian. Biarlah manusia lain dengan dunianya.. namum kita tenang dan gembira dalam alam kita sendiri. Walaupun orang lain melihat kita dalam kesukaran dan kesusahan hidup, namum itulah kebahagian kita ! Matlamat kami.. melahirkan kader-kader yang akan bekerja untuk Islam. Keinginan kami.. apabila kalian telah melangkah keluar dari sini.. kalian telah menjadi manusia muslim baru yang membawa bersama-sama obor yang akan menyuluh tempat-tempat yang masih gelap di pelusuk sana. Itulah sahaja matlamat dan cita-cita kami.

(diambil dari bahantarbiyyah.info)

 

 

 

 


Actions

Information

One response to “Airmata Seorang Naqib Pt 1”

29 02 2008
Raf (08:22:19) :

adoi… ni yang rasa bersalah ni

Leave a comment

You can use these tags : <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>