Airmata Seorang Naqib Pt 3

24 02 2008

Pengorbanan

Ianya bukan satu buatan. Ianya bukan rekaan satu cerita dan cerpen. Ia adalah satu kenyataan yang telah berlaku beberapa ketika lalu dan… air mata ini masih panas. Ianya adalah perasaan sayu kami bila harapan telah mulai berkecai. Satu demi satu harapan bangunan yang kami bina dan kami atur batu bata negara Islam dan khalifah yang kami inginkan berantapan jatuh di hadapan kami. Kalau dahulu kami harapkan kalian akan menjadi tangan-tangan yang akan bersama mengangkat batu batu yang lebih berat dan menjadi pembina bangunan ini… kini segalanya hampa.

Tanpa kami sedari, ada di kalangan kalian yang mungkin terasa amat gembira terlepas dari alam kita. Ada yang merasakan dunia dakwah suatu yang menghimpitnya.. suatu yang mengurungnya. Barulah kami sedari rupanya selama ini, itu semua adalah sebuah lakunan. Ada antara kalian rupanya sudah tidak ingin lagi bertemu muka dengan kami. Rupanya dulu kami adalah penyibuk yang mengganggu hidupnya. Sekarang dia telah bebas.

Kami mula kecewa… kami mula berfikir.. apakah dosa kami. Kami hanya menghulurkan tangan untuk memimpin kalian mengenal sedikit tanggungjawab kita semua. tanggungjawab dakwah dan amal Islam. Kami gembira kerana sebelum kalian keluar.. kalian telah memahami itu semua.. tetapi sekarang kenapa ini semua tiba-tiba berlaku?

Kalian datang ke sini… tetapi muka kamilah orang yang paling tidak ingin di lihat dan ditemui. Apakah kalian telah mencampakkan kasih sayang yang telah kami berikan selama ini. Apakah muka kami begitu buruk untuk dilihat? Apakah suara kami begitu menyakitkan untuk disapa?. Jika kalian datang dari jauh kerana sesuatu subjek dan untuk mengutip markah bagi sekeping sijil, apakah pelajaran-pelajaran yang sama-sama kita pelajari di usrah dan dauroh sudah tidak bernilai dan tidak berharga?

Atau apakah kalian telah melayakkan diri untuk dipanggil anak derhaka? Kalian segera berlepas pulang. Kami hanya mendengar si anu telah datang. Tanpa sepatah salam kami terima, mungkin ia terlalu mahal untuk dikirim. Tiada helaian kertas ditinggalkan.. mungkin dakwat pena terlalu berharga untuk dicoretkan.. Kami hanya mendengar dengan hiba dan air mata mengalir lagi

Jalan

Masa berlalu… dan kami mula berfikir sendirian. Mereka terlalu sibuk. Mereka ada urusan sendiri. Mereka sedang masuk ke alam kerja. Walau ada di kalangan mereka kami bantu untuk meneruskan kehidupan mereka mencarikan mereka kerja dan tempat pengalaman. Namum setelah berjaya, sepatah perkataan pun tidak didengari. Mungkin terlalu sibuk dengan pekerjaan. Alhamdulillah. Kami sekali lagi menjadi hampas yang dicampakkan ke tong sampah!

Kami tidak inginkan pembalasan. Kami tidak pahala dari kalian. Cukuplah Allah sebaik-baik pembalas. Apa yang ada di sisi Allah adalah lebih baik dan kekal. Kami akan tetap begini hingga ke akhir hayat.. selagi Allah masih memberikan kekuatan. Kerja kami ialah mengumpul tenaga-tenaga orang seperti kalian, memberi sedikit sebanyak ilmu dan kefahaman, mendidik apa yang terdaya agar ada tenaga baru untuk Islam. Kami tidak inginkan harta kalian, tidak perlu kepada pujian dan sanjungan kalian. Tidak berhajat ingatan dari kalian, tetapi kami hanya mahu mendengar kalian telah menyambung dan menjadikan kerja Islam sebagai sebesar-besar tugas. Kami hanya mahukan dari kalian menghidupkan jiwa-jiwa manusia yang telah mati. Itulah tanda kesetiaan kalian terhadap kami. Sebenarnya itu adalah janji kalian kepada Allah bila kalian berjanji untuk bersama kami. Allahlah yang akan menuntut janjiNya dari kalian.

Final Destination

Ketika kami mendengar ada di antara kalian mula terlupa atau melupai tugas ini, maka kamilah orang yang mula-mula menangis. Kalian tentu faham bahawa tanda awal ialah bila kalian tidak lagi bersambung dengan jamaah. Bila ada antara kalian yang merasakan kalian mampu hidup sendiri, kalian sebenarnya kalian telah silap. Hidup sehari tanpa jamaah dan tanpa kerja Islam bermakna kalian telah meranapkan harapan kerjabesar kita. Dan tanda awal putusnya kalian dengan jamaah ialah bila kalian sudah tidak mempunyai naqib dan usrah. Tanda awalnya apabila kalian telah mula membelakangkan naqib/naqibah dalam membuat keputusan dalam hidup kalian. Apakah kalian merelakan diri kalian untuk menjadi peranap kepada cita-cita Islam kita.? Apakah kalian tidak takut kepada balasan Allah bagi mereka yang meninggalkan tugas ini?

Biarlah kami berhempas pulas di sini.. berhujan berpanas dan berembun. Mengorbankan masa rehat dan wang ringgit kami demi melahirkan orang seperti kalian. Biarlah kami terus begini… walaupun kami tahu mereka semua juga mungkin akan menjadi seperti kalian. Biarlah kami terus berusaha .. melahirkan anak-anak yang akan menderhakai dakwah dan tanggungjawab Islam! Ingatlah.. kerja ini bukan hanya dengan angan-angan dan azam semata. Cukuplah kalian layak dipanggil anak derhaka bila dakwah dan amal Islam hanya menjadi angan dan azam. Betapa ramainya orang yang mampu berangan dan berazam seperti kalian ! Tapi dimana usaha dan curahan tenaga? Siapa yang akan ke medan, menarik tangan-tangan manusia yang sedang hanyut jika semua hanya berangan dan berazam untuk menarik? Alangkah mudah berangan dan berazam!

(diambil dari bahantarbiyyah.info)

 

 

 


Actions

Information

One response to “Airmata Seorang Naqib Pt 3”

24 02 2008
madeleinessatukilodarikedaiarab (22:09:55) :

Bangkit segar seirama
Meluruskan rentak safnya
Riuh-rendah basah lidah
Kalam wahyu mewangi di taman

Masihkah punya bicara?
Menjalinkan yang terpisah
Semarak terus berusaha
Pastinya ia akan berjaya

Leave a comment

You can use these tags : <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>