Wahai orang-orang yang beriman! Apakah kamu suka Aku tunjukkan kepada kamu suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab dari pedih?
Iaitu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan jiwa raga kamu. Itulah yang lebih baik untuk kamu jika kamu mengetahui.
Nescaya, Allah mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya berbagai-bagai sungai, dan menempatkan kamu di kediaman-kediaman yang selesa di dalam syurga-syurga ‘Adni. Itulah keuntungan yang amat besar.
(As-Saff, 61:10-12)
***************************************
Susunan pengungkapan ayat ini yang mengandungi keterangan-keterangan yang dipisah dan disambung, pertanyaan dan jawapan dan keterangan yang disebut dahulu dan disebut kemudian, adalah satu pengungkapan yang jelas bermaksud untuk menyematkan isi kandungan seruan ini di dalam hati manusia dengan segala saranan pengungkapan yang efektif.
Ayat ini dimulakan dengan seruan atas nama keimanan, “Wahai orang-orang yang beriman”, kemudian diiringi dengan pertanyaan yang menarik kerana Allah sendiri yang bertanya kepada mereka dan menggalakkan mereka untuk menjawab: Apakah kamu suka Aku tunjukkan kepada kamu suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab dari pedih? Siapakah yang tidak suka ditunjukkan Allah tentang perniagaan? Sampai di sini, ayat ini pun berakhir dan kedua-dua penerangan yang menggalakkan itu terputus menunggu jawapan.
Kemudian jawapan yang ditunggu-tunggu oleh hati dan telinga pun datang. “Iaitu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya” Hati mereka pun riang mendengar sebahagian jawapan (yang menyebut sifat) yang ada pada mereka, “dan berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan jiwa raga kamu.”
Itulah tajuk pokok yang dibicarakan oleh surah ini. Ia dikemukakan dengan cara ini dan diulang-ulangkan begini dan ia diterangkan dengan ungkapan seperti ini. Allah mengetahui bahawa hati manusia memerlukan keterangan yang berulang-ulang dan beranekaragam dan sentuhan-sentuhan yang menarik seperti ini supaya mereka sanggup memikul tugas yang berat itu, dan ia juga perlu untuk menegakkan sistem hidup Ilahi ini dan mengawalkannya di muka bumi ini.
Kemudian ia iringi penjelasan perniagaan itu dengan kenyataan memuji kebaikannya, “Itulah yang lebih baik untuk kamu jika kamu mengetahui.” Oleh itu, mengetahui hakikat yang sebenar akan membawa orang yang mengetahuinya kepada kebaikan yang amat diyakinkan itu.
Kemudian ia menghuraikan kebaikan itu satu persatu dalam ayat berikutnya yang tersendiri, kerana huraian yang terperinci selepas keterangan yang ringkas ini membuat hati rindu kepada huraian itu dan membuat huraian itu tersemat kukuh di dalam perasaannya. “Nescaya, Allah mengampunkan dosa-dosa kamu” Keampunan ini sahaja sudah cukup.
*********************************
Siapakah ornag yang dijamin Allah mendapat keampunan dari dosa-dosanya, kemudia ia mengharapkan lagi sesuatu yang lain selepasnya?
Atau hendak menyimpan sesuatu yang lain kerana keampunan itu?
*********************************
Tetapi limpah kurnia Allah itu tidak ada batasnya, malah Allah akan “memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya berbagai-bagai sungai, dan menempatkan kamu di kediaman-kediaman yang selesa di dalam syurga-syurga ‘Adni. Itulah keuntungan yang amat besar.”
Itulah satu perniagaan yang paling menguntungkan apabila seseorang mukmin sanggup berjihad dalam hidupnya yang pendek di dunia ini, sekalipun dia kehilangan seluruh kehidupan ini, kemudian dia dibalaskan dengan taman-taman syurga dan tempat-tempat kediaman yang amat selesa dalam satu kehidupan yang penuh nikmat yang abadi. Sebenarnya, “Itulah keuntungan yang amat besar.”







